Friday 18 November 2016

CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN & TOKOH USAHAWAN BERJAYA

1.0 PENDAHULUAN

Definisi usahawan :

  • ' Entreprenuer' berasal dari perkataan Perancis yang bermaksud "entreprendre" iaitu memikul tugas atau mencuba.
  • Pelbagai definisi telah dinyatakan untuk menggambarkan maksud sebenar usahawan kerana makna usahawan itu sememangnya luas dan bersifat universal.
  • Richard Cantillon - seseorang yang sanggup memikul tanggungjawab, mencuba sesuatu yang baharu dan berani untuk mengambil risiko.

2.0 CIRI-CIRI UNTUK MENJADI USAHAWAN BERJAYA

  1. JARINGAN
  • Jaringan perniagaan merupakan pakatan strategik yang di bentuk oleh perniagaan dengan pembekal, pengilang atau pengedar untuk menghasilkan produk atau memasarkanya di pasaran.
  • Jika jaringan ditakrifkan di dalam konteks keusahawanan, ia membawa maksud seseorang usahawan itu mempunyai rangkaian maklumat dan perhubungan dengan pihak-pihak yang mampu mendorong usahawan tersebut kearah kejayaan. 
  • Sekiranya seorang usahawan mempunyai jaringan yang baik untuk pengguna dalaman dan luaran, ia akan menjadi mudah untuk usahawan memperoleh kelebihan terhadap peluang perniagaan dan mampu untuk menyelesaikan masalah mengenai perniagaan mereka
  • Jaringan yang baik juga mempunyai beberapa kelebihan kepada usahawan dan perniagaanya 
  •  Antara kelebihannya adalah kemudahan mencapai sasaran atau matlamat yang baik, reputasi yang baik yang boleh menjadi role model kepada usahawan yang lain.


  •  Contoh usahawan yang boleh dilihat ialah usahawan Datuk Tony Fernandez 
  • Merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan Air Asia 
  • Usahawan yang membawa perubahan kepada cara hidup rakyat Malaysia dengan memperkenalkan low budget airlines. 
  • Beliau telah membeli Air Asia dengan harga RM 1 dan menanggung beban hutang sebanyak RM 40 juta (Subramaniam dan Kiet, 2014) 
  • Beliau juga berusaha mencari rakan kongsi bagi mengatasi masalah tersebut dan memulakan perniagaan mereka dari bawah berserta hutang yang masih tertunggak. 
  • Faktor kejayaan beliau dalam perniagaan ini juga kerana beliau mempunyai jaringan dengan ramai orang seperi usahawan, penyanyi, pemimpin dan lain-lain sebelum memulakan perniagaan. 
  • Hal ini menyebabkan beliau dapat bekerjasama dengan mereka bagi memulakan perniagaan melalui maklumat yang diperoleh. 
  • Contohnya, beliau meminta bantuan sahabatnya iaitu Datuk Pahamin Abd Razak untuk mendapatkan lesen bagi memulakan perniagaan ini dan mengatur temu janji untuk bertemu perdana menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad. 
  • Dengan bantuan orang disekelilingnya dan ilmu-ilmu yang diperoleh, beliau akhirnya berjaya menyelesaikan hutang dalam tempoh masa kurang dari 3 tahun. 
  • Penyusunan semula organisasi Air Asia dengan imej dan konsep yang baharu membawa perubahan besar dan memperoleh keuntungan yang besar dalam tempoh yang singkat. 
  • Kini, Air Asia beroperasi dengan hampir 80 buah Airbus A320 baharu, menyediakan penerbangan ke kira-kira 60 destinasi di Asia, mempunyai 6500 staf dan telah membawa 75 juta penumpang setakat ini. 
  • Beliau juga menggunakan pengaruh media dalam mempromosikan produknya supaya dikenali ramai. Air Asia telah banyak dipromosikan di dalam majalah, surat khabar, televisyen dan juga radio (Subramaniam dan Kiet, 2014). 

2. KREATIF & INOVATIF

  • Usahawan yang kreatif dan inovatif ialah seseorang yang dapat menghasilkan idea dan konsep baru dan dapat menterjemahkannya kepada produk yang dapat dikomersialkan. 
  • Usahawan yang kreatif merupakan usahawan yang banyak mempunyai idea, panjang akal dan berupaya menghasilkan produk baru dan canggih serta unik. 
  • Manakala usahawan yang berinovatif ialah usahawan yang sentiasa berfikir untuk memperkembang dan membuat pembaharuan dalam produk dan kerjayanya. 
  • Usahawan-usahawan pada masa kini perlu mempunyai ciri-ciri kreativiti dan inovasi bagi mendapat kelebihan persaingan terutamanya dalam bidang yang menggunakan teknologi tinggi dan terkini.


  • Sebagai contoh usahawan yang kreatif dan inovatif, ialah Datuk Seri Vida.
  • Beliau merupakan ketua pegawai eksekutif Vida Beauty Sdn. Bhd. dan pengasas kepada beberapa produk kosmetik dan kesihatan popular seperti Qu Puteh dan Pamoga.
  • Sebagai seorang usahawan yang berjaya, terdapat ciri kreatif dan inovatif dalam diri beliau.
  • Hal ini dapat di buktikan dengan kejayaan beliau dalam perniagaan produk kecantikkan Vida Beauty.
  • Beliau di gambarkan sebagai usahawan yang kreatif dan inovatif kerana beliau bukan sahaja mengeluarkan produk kecantikkan. Malah beliau juga mengeluarkan produk kesihatan dalaman dan luaran seperti Pamoga.
  • Selain produk kecantikan dan produk kesihatan dalaman, Vida Beauty juga mengeluarkan produk wangian khusus untuk para wanita yang berinspirasikan wangian Arab dan berkualiti tinggi.
  • Ciri usahawan yang berinovasi dan kreatif dapat dilihat juga dalam pengeluaran produk wangian Datuk Seri Vida ini kerana, produk wangian ini turut dikeluarkan khusus untuk para lelaki. 
  • Selain itu, produk wangian ini dipelbagaikan jenis-jenis wangiannya. Dengan pengeluaran produk wangian ini menunjukkan bahawa Datuk Seri Vida merupakan usahawan yang mempunyai sifat kreativiti dan inovatif. 
  • Selain itu pemilik kepada slogan dan tagline produknya yang terkenal iaitu “qu puteh, qu puteh, barulah putih” turut mempunyai kreativiti dalam penyusunan strategi perniagaan.
  • Seseorang usahawan yang berjaya juga haruslah mempunyai kreativiti dan inovasi dalam menyusun strategi perniagaan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produknya.
  • Misalnya, jika dilihat pada skill perniagaan Datuk Seri Vida sangat hebat dan kreatif. Hal ini kerana, selain dari melibatkan diri dalam perniagaan produk kecantikkan, Datuk Seri Vida juga pernah menaja program tv seperti Gegar Vaganza, Mentor Milenia TV3 dan Anugerah Juara Lagu (AJL29). 
  • Selain itu, Datuk Seri Vida juga pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan dan mensyaratkan stadium dicat dengan warna pink dan nama pasukan ditukar dari The Red Warriors kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.
  • Dapat dilihat disitu bahawa strategi perniagaan beliau sangat kreatif kerana sambil menaja beliau akan memperkenal dan mempromosikan produknya kepada orang ramai. Jadi untuk menjadi usahawan yang berjaya merupakan perkara yang tidak mustahil dan tidak mudah.

3. KOMITMEN YANG TINGGI 

  • Komitmen yang tinggi adalah memulakan suatu usaha dengan berjaya memerlukan komitmen sepenuhnya daripada para usahawan.
  • Komitmen ini membantu mereka untuk menangani kesilapan dan rintangan yang membahayakan perniagaan mereka. Komitmen mereka kepada idea dan perniagaan mereka akan menentukan tahap kejayaan perniagaan mereka (Mohd Taufik, 2012).


  • Usahawan yang mempunyai ciri komitmen yang tinggi ialah Dato Aliff Syukri Kamarzaman.
  • Beliau merupakan pengasas produk D’Herbs iaitu produk kosmetik dan kesihatan yang semakin melonjak naik popularitinya.
  • Datuk Alif juga memulakan perniagaannya dengan menjual produk kosmetik di pasar tani.
  • Walaupun tempat yang beliau berniaga hanyalah pasar tani tetapi beliau melihat ianya sebagai peluang untuk beliau memperkenalkan diri dengan produk yang ingin dijual.
  • Beliau meneruskan usaha mencari pendapatan sampingan dengan membuat bengkel kecantikan di tempat kerja serta menjual produk kecantikan dan kesihatan.
  • Komitmen yang ditunjukkan membuatkan beliau berjaya sehingga sekarang dan menjadi jutawan pada usia yang muda.
  • Komitmen yang tinggi ditunjukkan lagi melalui strategi perniagaan beliau yang itu melalui majalah dan akhbar yang terlaris di Malaysia seperti Mingguan Wanita, Beliau juga menaja program-program hebat seperti Akademi Fantasia dan Bintang Mencari Bintang yang disiarkan di Astro dan TV3.
  • Beliau kemudiannya mencuba nasib menerusi pengiklanan di stesen televisyen lain dengan melakukan penampilan terbaharu iaitu daripada memakai baju biasa kepada baju berkilat dan daripada suara biasa kepada suara ‘kepit’.
  • Semua yang ditunjukkan hanyalah gimik di dalam memasang strategi perniagaan dan ternyata ianya menjadi.
  • Komitmen yang tinggi dapat dibuktikan apabila beliau menggunakan visi D’Herbs adalah untuk menjadi sebuah syarikat single level yang mengeluarkan produk kecantikan dan kesihtan dengan konsep terbuka dan lebih mudah serta ringkas sekaligus mempunyai sistem yang terbaik dari segi pengurusan, keberkesanan kualiti serta harga berpatutan.

4. LOKUS KAWALAN DALAMAN

  • Lokus kawalan dalaman merupakan tahap kepercayaan seseorang individu terhadap kebolehan dirinya tanpa dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.
  • Kepercayaan yang tinggi terhadap diri sendiri membolehkan seseorang itu berani untuk mengambil peluang yang ada walaupun kesan yang bakal berlaku tidak dapat diketahui lagi (Mat. C, 2007).
  • Apabila seseorang usahawan itu mempunyai lokus kawalan yang tinggi membolehkan beliau membuat keputusan yang terbaik dan memberikan keuntungan kepada semua pihak.
  • Usahawan yang mempunyai lokus kawalan dalaman yang tinggi tidak akan mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti khabar angin dan sebagainya.


  • Usahawan yang mempunyai lokus kawalan dalaman ialah Tan Sri Lim Goh Tong.
  • Hal ini kerana, kejayaan Tan Sri Lim Goh Tong ini bermula apabila dia dengan penuh keyakinan yang tinggi mengambil peluang untuk meneroka kawasan hutan iaitu di Gunung Ulu Kali yang sekarang ini dikenali sebagai Genting Highland.
  • Usaha gigih beliau dengan melakukan pelbagai pekerjaan adalah sangat berbaloi apabila dinobatkan sebagai salah seorang jutawan pada masa kini.
  • Kesungguhan beliau pada permulaanya membolehkan beliau membuka sebuah syarikat pembinaan yang dinamakan sebagai Kien Huat dan bergelar kontraktor Kelas A.
  • Beliau bermula dari bawah dan tanpa berputus asa meningkat naik kerana beliau tidak mahu kaum dan keturunan mereka terus hidup susah (Yen.C.H, 2013).
  • Beliau berpegang kepada prinsip untuk mengubah taraf kehidupan mereka dengan lebih baik.
  • Beliau juga mengelakkan diri daripada terlibat dalam kancah perniagaan yang kotor. Beliau tidak mengambil jalan pintas untuk berjaya. 
  • Beliau sentiasa meletakkan kepercayaan diri yang tinggi dalam setiap keputusan yang diambil seterusnya dapat menggelakkan diri daripada menerima pengaruh-pengaruh yang lain.
  • Pembukaan pusat perlancongan diatas bukit tersebut bukanlah sesuatu yang mudah bagi Tan Sri Lim Goh Tong.
  • Pelbagai ejekan dan penghinaan yang diterima oleh beliau. Namun begitu, ejekan dan penghinaan tersebut dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dan membuktikan kemampuan diri beliau. 
  • Beliau akan mengelak daripada mendengar kata-kata negatif yang dilemparkan terhadap beliau. Idea dan konsep yang dibuat oleh beliau juga dikatakan tidak akan berjaya dan hanya mensia-siakan pelaburan sahaja. 
  • Oleh begitu, demi membuktikan kemampuan diri beliau, beliau terpaksa bekerja sebanyak 2 syif seminggu bagi menjimatkan kos selain terpaksa tinggal di dalam hutan dan gua yang berdekatan . 
  • Beliau juga merupakan orang yang pertama bekerja mengikut syif 24 jam sehari sepanjang minggu supaya impian beliau membuahkan hasil. Beliau juga merupakan orang yang sangat menjaga kebajikan pekerja-pekerja beliau kerana menganggap pekerja merupakan aset yang sangat penting untuk sesebuah organisasi.
  • Akhirnya kini, impian beliau telah berjaya direalisasikan apabila First World Hotel merupakan hotel yang terbesar di dunia kerana mendapat pengiktirafan dari Guinness World Records sebagai hotel terbesar di dunia dengan 7,351 bilik.
  • Genting Highland juga merupakan antara tempat tarikan pelancongan dunia yang terdapat di Malaysia kerana mempunyai taman tema dan kasino. Ramai pelancong datang dari serata dunia dan mengunjungi Genting Highland pada setiap tahun.


5. MENGAMBIL KIRA RISIKO YANG DIPERHITUNGKAN


  • Kebanyakan perniagaan yang berjaya diinovasi akan menggalakkan mentaliti pengambil risiko di kalangan pengurusan untuk membantu menyokong proses kreatif dalam ahli kakitangan lain.
  • Risiko merujuk kepada keadaan ketidakpastian dalam membuat keputusan dan kesannya ditanggung oleh pembuat keputusan tersebut. Semakin tinggi risiko yang dihadapi oleh seseorang usahawan maka semakin tinggi pulangan yang akan diterima.

  • Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah mula menceburkan diri di dalam bidang keusahawanan dan menjadi pengasas dan peneraju Kumpulan Sunway.
  • Kumpulan Sunway ini telah berjaya menempuh sebanyak tiga tempoh kemelesetan ekonomi dengan jayanya. Beliau menjalankan perniagaan perlombongan bijih timah melalui Syarikat Sungei Way dengan modal berbayar sebanyak RM 100 000 pada tahun 1974.
  • Seterusnya pada tahun 1977 kemelesetan ekonomi sekali lagi melanda negara Malaysia namun syarikatnya dapat bertahan.
  • Prestasi yang memberangsangkan telah menjadikan perniagaannya itu berjaya disenaraikan dalam papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada tahun 1984 sebagai Sunway Holding Berhad (Foundation.J.C, 2016).
  • Berdasarkan peristiwa yang telah dilalui oleh beliau dapat dibuktikan bahawa beliau telah mengambil kira risiko yang diperhitungkan. Hal ini kerana, beliau telah bersedia untuk menghadapi krisis kewangan yang disebabkan kemelesetan ekonomi. Selain itu, beliau juga telah bersedia dengan merancang untuk melombong kuari dan pasir apabila perniagaan bijih timah telah habis dilombong.
  • Pada tahun 1987, Sunway Holding Berhad telah mencatatkan kerugian yang hampir menghapuskan dana pemegang saham di syarikatnya, namun Tan Sri Dr.Jeffrey Cheah telah mengambil beberapa langkah bijak agar dapat bertahan. Beliau telah menyebarkan risiko dan mempelbagaikan perniagaan yang diceburinya.
  • Antaranya ialah, Sunway Holdings mula menceburkan diri di dalam sektor pembangunan hartanah, pelaburan hartanah, pembuatan, perhotelan dan perniagaan berkaitan dengan hiburan.
  • Hasil daripada mempelbagaikan perniagaan tersebut beliau telah berjaya menubuhkan Sunway City Berhad, Sunway Construction Berhad dan Sunway Building Technology Berhad.

6. BERORIENTASIKAN PELUANG

  • Untuk menjadi usahawan yang berjaya bukan sahaja perlu melihat peluang yang ada tetapi juga perlu untuk bijak menganalisis, merumus dan mengambil tindakan terhadap peluang yang ada.
  • Untuk berjaya pra-syaratnya ialah usahawan perlu merebut peluang dan melaksanakan peluang tersebut serta mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat.
  • Setelah peluang dikenalpasti, seseorang usahawan akan membiarkan peluang tersebut menentukan corak strategi, struktur dan sumber yang diperlukan.
  • Seseorang usahawan akan mengenal pasti ruang penambahbaikkan daripada kelemahan dan kekurangan produk serta menambahbaik produk yang sedia ada.

  • Usahawan Tan Sri Ananda Krishnan merupakan contoh yang boleh dilihat sebagai usahawan yang mempunyai ciri berorientasikan peluang.
  • Ananda Krishnan merupakan seorang usahawan yang bijak mengambil peluang perniagaan di mana beliau menjalinkan hubungan baik dengan pihak-pihak yang berpengaruh dan berkuasa yang dapat memberi kelebihan kepada perniagaannya.
  • Beliau rapat dengan golongan pemimpin dan pegawai korporat yang berpengaruh seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Dr. Mahathir Mohamad. Melalui perhubungan yang dibina ini, Ananda Krishnan dapat melebarkan sayap perniagaannya dengan mudah dan menjadikan beliau usahawan yang terkenal sehingga sekarang Pengerusi dan CEO Usaha Tegas Group Holdings Bhd dan pengasas Maxis (Mahmood, 2010).
  • Kini, beliau adalah orang yang paling berpengaruh di Malaysia kerana empayar perniagaannya merangkumi sektor-sektor utama seperti telekomunikasi angkasa dan bumi seperti Binariang Satellites Systems Sdn Bhd, Sistem Rangkaian Siaran Measat (MEASAT Broadcast Network Systems) mempunyai tiga satelit komunikasi bumi, dan Maxis Communications Berhad (Maxis), radio dan televisyen iaitu Astro, perjudian seperi lumba kuda dan loteri Pan Malaysia Pools, perkapalan dan industri minyak iaitu Bumi Armada, jana elektrik iaitu Powertek Berhad dan perfileman.
  • Beliau bijak dalam merebut peluang dengan memanfaatkan teknologi baharu dengan pelancaran Menara Berkembar Petronas.  Akhir sekali, sebelum mengalih tumpuannya ke dalam negara, beliau telah mencapai matlamatnya dalam mengumpulkan harta kekayaan berjuta juta ringgit melalui usaha rangkaiannya di luar negara.

7.PROAKTIF



  • Ciri usahawan berjaya yang dimiliki oleh Datuk Jimmy Choo ialah bersikap proaktif.
  • Proaktif merupakan sikap seseorang yang mampu mengambil dan memanfaatkannya sehingga menghasilkan perubahan yang lebih baik. Sikap proaktif penting kepada seseorang usahawan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
  • Sikap proaktif seseorang dapat dilihat dari perbuatannya iaitu bertanggungjawab.
  • Mereka tidak akan menyalahkan orang lain terhadap sesuatu kejadian tetapi lebih memilih untuk bertanggungjawab dan mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan itu.
  • Datuk Jimmy Choo sinonim dengan kasut yang eksklusif dan bergaya. Beliau bukan sahaja pereka kasut malah beliau seorang tukang membuat kasut yang mahir dan pakar dalam menghasilkan seninya.
  • Beliau menjadi lebih mahir dan kreatif mencipta kasut untuk memenuhi citarasa pelanggan. Beliau mencipta kelainan semasa menghasilkan kasut agar kasut yang dihasilkan nampak berbeza dengan kasut yang sedia ada di pasaran. Beliau sangat teliti dalam acuan untuk membentuk kasut yang terdiri daripada bahagian atas, tapak dan tumit.
  • Datuk Jimmy Choo juga bijak merangka dan mengatur strategi perniagaannya (Norazira Azman, 2014). Beliau bertanggungjawab dalam membuat keputusan mengenai hala tuju syarikatnya iaitu Jimmy Choo Ltd. Sebarang kesilapan yang berlaku dalam operasi perniagaannya dapat diurus dan diperbetulkan dengan sebaik mungkin.
  • Perubahan zaman yang berlaku menyebabkan beliau mampu menyerap dengan baik akan keperluan fesyen yang terkini. Kini, jenama Jimmy Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan yang menjadi kegilaan artis dan selebriti di dunia.

3.0 TOKOH USAHAWAN TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY


BIODATA TAN SRI SYED MOKHTAR
  • Beliau merupakan antara usahawan yang disenaraikan antara 40 orang terkaya di Malaysia dan berada pada kedudukan yang ketujuh oleh Forbes.Beliau juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1429 Hijrah / 2008 kerana kejayaan yang beliau kecapi. Beliau telah berkahwin dengan Puan Sri Sharifah Zaharah dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata.
  • Nama sebenar beliau ialah Syed Mokhtar Shah Bin Syed Nor Al-Bukhary. Beliau merupakan anak jati kelahiran Alor Setar, Kedah.
  • Beliau dilahirkan pada tahun 1951.Bapa dan ibunya merupakan orang berniaga yang berasal dari Hadhramaut, Yaman.
  • Sebelum mengambil keputusan untuk menetap di Kedah, mereka berdua telah mengembara sehingga ke Asia Tengah dan negara Thailand. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mempunyai tujuh orang adik beradik dan merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik beradik.
  • Semasa berumur 9 tahun, beliau dihantar untuk tinggal dengan bapa saudaranya iaitu Syed Omar di Johor Bharu sehingga beliau berumur 14 tahun iaitu tingkatan dua. Beliau kembali semula ke Alor Setar untuk menyambung pengajian sehingga tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s.
  • Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan semasa masih kecil lagi.Hal ini kerana, beliau tergolong dalam keluarga yang kurang berkemampuan menyebabkan beliau terpaksa membantu ibunya menanam sayur-sayuran dan menjual hasil tanaman tersebut di pasar iaitu di Jalan Telok Wanjah.Hasil daripada jualan itulah yang dapat menampung perbelanjaan keluarga besar mereka.Beliau juga menjual roti canai bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka.
  • Tahun 1975, Syarikat Shah ditubuhkan dan membolehkan beliau melakukan permohonan lesen perdagangan beras dengan Lembaga Padi Negara (LPN) atan BERNAS.
  • Beliau telah dijemput menyertai Ekspo Perdagangan Canton di China tahun 1978. Beliau telah memperkenalkan sistem barter semasa berada di China iaitu menukar koko dengan teh.
  • Beliau sekali lagi mengambil tindakan yang tepat apabila beliau membeli Johor Posty dengan tender yang berjumlah RM 330 juta. Projek ini merupakan antara projek penswastaan untuk Johor Port Sdn dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd.
  • Projek penswastaan air di bawah syarikat Equiventure Sdn Bhd juga telah ditubuhkan dengan kerjasama antara Kembangan Dinamik dan Syarikat Oneo dari Perancis.Kembangan Dinamik iaitu syarikat Tan Sri Syed Mokhtar memegang saham sebanyak 49 peratus.Selepas itu, syarikat kejuruteraan MMC Corporation telah dibeli dengan harga RM 3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB).
  • Keperibadian yang baik dalam diri beliau telah ditonjolkan sekali lagi apabila beliau telah menubuhkan Yayasan al-Bukhary untuk badan kebajikan pada tahun 1996.
Ciri-ciri Keusahawanan Yang Dimiliki Oleh Tan Sri Mokhtar Bukhary

1. JARINGAN
  • Jaringan peribadi merupakan jaringan yang tidak formal yang melibatkan hubungan secara langsung antara beliau dengan pelanggan seperti rakan, keluarga dan orang – orang yang berdekatan dengan beliau.
  • Hal ini boleh dilihat apabila beliau membantu ibunya menjual sayur-sayuran di pasaran, membantu bapanya dalam perniagaan lembu penternakan dan juga menjual daging beku. Barangan yang dijual hanyalah dipasarkan dikawasan rumahnya sahaja dan pihak – pihak dalam jaringan ini biasanya menjadi sumber pertama usahawan mendapat pelbagai bantuan terutamanya di peringkat awal perniagaan beroperasi.
  • Seterusnya ialah jaringan perniagaan. Jaringan ini dikenali sebagai jaringan formal. Ianya berkaitan hubungan aktiviti yang berkaitan dengan perniagaan. Beliau banyak membuat jaringan dengan pihak bank, pembekal, kerajaan, persatuan perniagaan dan banyak lagi. Jaringan ini boleh dilihat pada awal perniagaannya apabila beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA.
  •  Pada peringkat ini beliau merancang hubungan dengan ahli jaringan denga mengenal pasti pihak – pihak yang harus beliau kenali serta bagaimana pengenalan ini oleh dilakukan bagi memudahkan mereka berurusan. Hal ini boleh dilihat melalui jaringan beliau menjalinkan kerjasama dengan ahli perniagaan berketurunan Cina.
  • Dalam masa yang singkat, beliau telah mempelajari dan membeli perniagaan yang dipelopori oleh ahli perniagaan Cina khususnya dalam bidang pengangkutan, perniagaan dan pemasaran beras, pakaian, pemprosesan makanan dan ternakan.
2.KREATIF & INOVATIF
  • Beliau memulakan perniagaan beliau pada tahun 1970-an dengan perniagaan binatang ternakan bapanya. Walaupun perniagaan tersebut mengalami kemerosotan beliau tidak pernah berputus asa dan beliau kembali memulakan perniagaan beliau dengan menjual daging secara kecil-kecilan. Beliau berjaya dalam perniagaan tersebut dan kejayaan tersebut menambahkan lagi keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.
  • Beliau mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain iaitu, gula. Beliau diberikan kotrak untuk membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan jugak minyak sapi kepada kerajaan.
  • Beliau menubuhkan Bukhary Shipping yang bertindak sebagai broker kapal dibawah polisi CABOTAGE. Bukan itu sahaja, Tan Sri Syed Mokhtar juga melibatkan diri dalam sektor pembangunan hartanah dan memulakan projek perumahan dibawah syarikat Bukhary Development.
3. PROAKTIF

  • Seperti yang kita ketahui Syed Mokhtar Al Bukhary juga pernah gagal dalam berniaga di sebabkan wabak penyakit tetapi beliau melihat kegagalan ini bukan halangan untuk beliau terus maju. Datangnya idea untuk menjual daging beku disebabkan beliau melihat banyak daging di pekan tidak terjual kemudian beliau membeli dan membungkus daging tersebut bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar.
  • Beliau berjaya membina empayar perniagaannya dan menggunakan sebahagian besar hasil kekayaan beliau untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan melalui Yayasan Al-Bukharyyang telah beliau tubuhkan pada bulan Mac 1996.
  • Tujuan Yayasan ini adalah untuk membantu golongan asnaf dan menyokong perkembangan seni, pendidikan dan budaya Islam. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia.
  • Sikap proaktif boleh kita lihat apabila beliau cuba mempelbagaikan perniagaan, berani dan tekad dalam menghasil keputusan yang mengandungi idea-idea menarik serta membuat perubahan yang kreatif terhadap syarikatnya.
4. MENGAMBIL KIRA RISIKO YANG DIPERHITUNGKAN

  • Beliau telah menubuhkan Bukhari Shipping untuk melibatkan diri dalam perniagaan perkapalan di bawah polisi CABOTAGE dan mendaftarkannya dengan Perbendaharaan Malaysia. 
  • Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal. Melalui Bukhari Shipping, beliau telah membeli sebuah kapal buatan Jerman untuk memudahkan urusan perniagaannya.
  • Kapal ini digunakan untuk mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Kapal ini berusia 28 tahun dan harganya sangat mahal iaitu US1 juta dolar. Kapal tersebut diberi nama Angsa Mas.
  • Namun perniagaan tersebut tidak dapat bertahan lama dan mengalami kerugian sehingga menyebabkan beliau menjual kapal miliknya pada harga US600 000 dolar. Sesuai dengan nilai pulangan yang telah diperolehinya dengan risiko yang dihadapi, beliau telah mengalami kerugian sebanyak US400 000 dolar.
  • Kerugian ini telah ditanggung dengan tenang oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary kerana beliau telah menghitung risiko yang bakal dihadapi dalam perniagaannya.

5.BERORIENTASIKAN PELUANG

  • Beliau telah mengambil peluang yang ada dengan memulakan perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau juga mengambil peluang dengan membuat bantuan pinjaman berjumlah RM110,000 daripada pihak MARA untuk membeli dua buah lori Mercedes 911LS. Kini, syarikat terbabit mempunyai lebih daripada 40 buah lori.
  • Selain itu, beliau mempunyai kebijaksanaan mencari dan memafaatkan peluang yang ada di depan mata. Beliau meletakkan kepentinggan di dalam syarikatnya yang dilihat mampu menjana keuntungan yang tinggi. Beliau telah membuat keputusan untuk mengembangkan perniagaan beras dan melabur di dalam syarikat beras terkemuka negara iaiti BERNAS. Beliau juga telah menubuhkan Syarikat Shah pada tahun 1975 dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara (BERNAS).
  • Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary bijak mengambil peluang dengan menjalinkan kerjasama dengan dua orang peniaga Cina iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula ialah pengilang beras. Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar Shah memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus.
  • Beliau telah melibatkan diri dalam projek penswastaan Johor Port Sdn Bhd dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn Bhd. Beliau telah membeli Johor Port sdn bhd melalui tender pada harga RM330 juta menerusi program penswastaan. Dengan ini, beliau berjaya melaksanakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas bagi menyaingi Singapura.
  • Beliau berjaya mempopularkan pelabuhan tersebut sehingga dapat meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa iaitu Maersk Sealand dari Denwark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

KESIMPULAN 

  • Usahawan adalah seseorang yang mempunyai ciri-ciri istimewa yang dapat membezakan mereka dengan manusia lain. 
  • Individu dan masyarakat yang ingin berjaya seperti usahawan yang telah dibincangkan perlulah menjadikan mereka sebagai contoh dan idola dalam usaha mencapai impian dan kejayaan. 
  • Setiap individu berpeluang untuk menjadi usahawan. Ilmu pengetahuan yang tinggi di dalam bidang perniagaan perlulah dipelajari supaya kerana sifat-sifat untuk menjadi seorang usahawan bukanlah diperoleh secara semula jadi. 
  • Kegagalan di dalam perjuangan bukanlah satu penghalang untuk mengundurkan diri, malah jadikan ia sebagai satu pembakar semangat untuk terus maju ke hadapan.

No comments:

Post a Comment